* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

الإنسان يحاسب على الأفعال والله يحاسب على النيات


MEMBINA KOMITMEN, MENCIPTA KEBERSAMAAN

TINDAKAN SE ALIM KATA

MENGUPAYAKAN ORGANISASI,
MEMINIMUMKAN KUASA DOMINASI

MENCIPTA SEJARAH, MEMAHAT TAMADUN

MEMINTAS ARUS MENCIPTA SEJARAH

ASPIRE TO INSPIRE BEFORE YOU EXPIRE

Man punishes the action , but Allah the intention

Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan tindakan kita. Sokongan dan kerjasama anda adalah satu penghormatan kepada usaha merealisasikan hasrat slogan MERSING HEBAT berteraskan kepada amalan HIKMAH, EFEKTIF, BADAR, AMANAH dan TAWAKKAL.

اللهم اجعلنا من المستمعين القول فيتبعون أحسنه

Idea dan cadangan tuan amat dialu-alukan.

SEBARANG KESULITAN DAN KELEMAHAN AMAT DIKESALI.

Sila salurkan cadangan, komen dan aduan tuan/puan ke alamat email berikut : akademikmg@gmail.com.
.....................................................................................................
TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN  MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2014
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

ISNIN, 27 JULAI 2015
DEWAN KOMPLEKS SERI BINTANG
CHERAS, KUALA LUMPUR

  • SMK SERI BINTANG UTARA
  • SK SERI BINTANG UTARA
  • SMK SERI BINTANG SELATAN
  • SMK SERI BINTANG SELATAN


Bismillahhirramanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Salutasi
PENDAHULUAN
  1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2014, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Dalam majlis ini izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua hadirin dan hadirat sekalian.  Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha gigih warga pendidik dan warga Kementerian Pendidikan dalam meneruskan langkah untuk melaksanakan PPPM.  Dan pada hari ini saya berasa bangga kerana dapat merealisasikan Anjakan 11 PPPM dengan  menyampaikan laporan tahunan yang kedua bagi pelaksanaan PPPM.
  1. Sebelum itu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua-Pengetua SMK Seri Bintang Utara dan SMK Seri Bintang Selatan, serta Guru Besar SK Seri Bintang Utara dan SK Seri Bintang Selatan yang telah memberi ruang dan kesempatan untuk sama-sama kita berhimpun di sini bagi berkongsi pencapaian insiatif PPPM yang telah kita usahakan bersama-sama. 
Para hadirin yang saya hormati. 
  1. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telahpun lebih dua tahun dilaksanakan.  Saya merasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh bukan sahaja warga pendidikan, tetapi juga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan PPPM.  Dalam dua tahun pertama ini, kita telah melihat usaha bersepadu dijalankan oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam mencapai keberhasilan murid. Transformasi pendidikan ini adalah satu proses di mana murid, guru, pemimpin sekolah dan masyarakat saling bergantung untuk memastikan kita mencapai Enam Aspirasi Murid; dan menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk memastikan sokongan berterusan diberikan bagi mencapai Lima Aspirasi Sistem yang telah kita tetapkan.
  1. Dalam masa kita mengiktiraf pencapaian melalui 14 inisiatif utama  yang dilaksanakan, kita juga sedar usaha perlu dipergiat untuk mencapai keberhasilan Gelombang 1 ini yang akan berakhir akhir tahun ini.  Asas yang kukuh telah kita letakkan pada 2013 untuk kita melangkah ke tahun seterusnya, dan pada 2014 usaha diperhebat dan digalas bersama-sama – secara kolektif dan kolaboratif dengan semua pihak berkepentingan. Tetapi dalam pelaksanaan ini, kita bukan sahaja melihat kejayaan secara kuantitatif melalui pencapaian KPI, tetapi juga secara kualitatif melalui amalan terbaik yang telahpun dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan. 
Para hadirin yang saya hormati,
  1. Laporan Tahunan PPPM ini diterbitkan bukan hanya sebagai dokumen rujukan tetapi untuk memberi pencerahan yang sebenar dan telus kepada rakyat dalam usaha Kerajaan meletakkan kualiti pendidikan negara pada peringkat yang boleh dibanggakan. Setelah dua tahun pelaksanaan PPPM, kita telah mula melihat keberhasilan inisiatif yang signifikan secara lebih holistik berteraskan Aspirasi Sistem bagi mencapai Aspirasi Murid, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Para hadirin sekalian,
PENINGKATAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI
  1. Dalam hal ini, pada 2014, suka saya mengumumkan peningkatan enrolmen prasekolah daripada 81.71% kepada 84.21%.  Kejayaan ini adalah hasil usaha Kementerian melalui pelbagai inisiatif peningkatan enrolmen prasekolah seperti pemberian Geran Prasekolah Swasta dan  insentif kepada keluarga berpendapatan rendah dan murid berkeperluan khas berjumlah RM36.77 juta pada tahun lepas.  Dengan kerjasama agensi berkaitan,  sebanyak lebih 1,273 kelas prasekolah telah dibuka pada 2014, membawa kepada jumlah kelas prasekolah di seluruh negara kepada 42,866.
  1. Dari segi akses, Kementerian terus melipat gandakan usaha untuk memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET selaras dengan Program Transformasi Vokasional yang dilancarkan pada 2012.  Pada 2014, seramai 1,961 murid mendaftar dalam Pendidikan Asas Vokasional (PAV) yang ditawarkan pada peringkat menengah rendah kepada murid berusia 13 hingga 15 tahun.  Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14% daripada tahun sebelumnya.  Sebanyak 345 murid kohort pertama kini sudahpun menamatkan program ini pada 2014 dan layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2, yang membolehkan mereka untuk menyambung pelajaran di Kolej Vokasional atau Institut Latihan Kemahiran Awam atau Swasta.
  1. Pada peringkat menengah atas pula, Kementerian telah memperkenalkan dua program vokasional iaitu Diploma Vokasional dan Sijil Kemahiran Malaysia. Pada 2014, seramai 22,096 murid lepasan PMR mendaftar untuk program vokasional.  Kementerian turut telah menjalankan usaha sama dengan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta bagi menempatkan pertambahan murid aliran vokasional ini.  Kolej Vokasional ini juga menempatkan lebih 775 murid berkeperluan khas, meningkat daripada 518 orang pada tahun sebelumnya. Kementerian juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan 90 syarikat lagi pada 2014 bagi memastikan penempatan untuk lepasan Kolej Vokasional Kementerian, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 208 syarikat.
  1. Perubahan yang ketara dalam pendidikan lepas menengah pada tahun 2014 adalah Transformasi Tingkatan 6, yang menyaksikan penubuhan lima Pusat Tingkatan 6 di Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Sabah.  Seramai 1,236 murid kini mengikuti pengajian di Pusat tersebut dalam usaha Kementerian meningkatkan enrolmen Tingkatan 6 sebagai salah satu alternatif kepada pendidikan lepas menengah
Para hadirin yang dihormati sekalian,
MENINGKATKAN KUALITI DALAM PENDIDIKAN
  1. Peningkatan kualiti sememangnya menjadi teras dalam apa jua inisiatif yang dijalankan dalam PPPM. Pada 2014, bagi program LINUS 2.0, daripada 1,313,752  murid yang melalui proses saringan, sebanyak 98.7% murid Tahun 3 berjaya menguasai literasi asas Bahasa Melayu, 99.0% menguasai numerasi asas dan 78.3% murid Tahun 2 berjaya menguasai literasi asas Bahasa Inggeris. Selaras dengan usaha meningkatkan kualiti sejajar dengan sistem pendidikan terbaik pada peringkat antarabangsa, aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diterapkan secara menyeluruh di dalam kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.  Untuk itu, seramai 15,768 guru Sains, 16,123 guru Matematik dan 50,957 guru subjek lain telah melalui latihan pedagogi dan pentaksiran untuk KBAT. Pada tahun lepas juga, sebanyak 62 modul intervensi TIMSS dan PISA dibangunkan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan standard kurikulum dan penilaian kebangsaan adalah setara dengan TIMSS dan PISA.
  1. Peningkatan kompetensi guru Bahasa Inggeris telah diteruskan sebagai kesinambungan usaha yang dijalankan pada 2013.  Seramai 10,502 guru Bahasa Inggeris telah dilatih semula di bawah Programme for English Language Teachers atau ProELT. Usaha yang lebih berfokus untuk meningkatkan profisiensi Bahasa Inggeris dilaksanakan dengan mengenal pasti 1,191 sekolah hotspot Bahasa Inggeris iaitu sekolah yang berada di bawah purata kebangsaan untuk markah lulus Bahasa Inggeris.  Program intervensi merangkumi Komponen dalam Bilik Darjah dengan bantuan SISC+ dan Ketua-Ketua Panitia, manakala bagi Komponen Luar Bilik Darjah ataupun ko-kurikulum pula, Kementerian telah menjalankan usaha sama dengan pelbagai agensi termasuk Kedutaan Amerika Syarikat dan akademi tempatan.
  Bagi guru dalam perkhidmatan, Kementerian telah melaksanakan Pembangunan Profesionalisme Berterusan atau CPD bagi memastikan guru-guru sentiasa bersedia untuk pembelajaran abad ke-21.  Bagi memartabatkan profesion keguruan seperti yang dihasratkan di bawah Anjakan 4 PPPM, syarat kemasukan guru baharu diperketatkan.  Pada 2014, 100% guru pelatih baharu yang diambil mendapat sekurang-kurangnya 5A di dalam peperiksaan SPM, manakala mereka yang mendaftar untuk program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua atau TESL mendapat gred A untuk subjek Bahasa Inggeris. Kualiti pemimpin sekolah juga menjadi keutamaan kepada Kementerian.  Di bawah inisiatif Piagam Pemimpin, lebih 2000 pemimpin sekolah telah memperolehi sijil National Professional Qualification for Educational Leaders atau NPQEL, dengan 63% daripada mereka memperolehi CGPA 3.75 ke atas. Pelbagai program telah dijalankan bagi memastikan pemimpin pelapis sentiasa bersedia untuk meneruskan kepimpinan sedia ada.

  1. Melalui program Sarana IbuBapa pula, kita dapat melihat sendiri bagaimana ibu bapa, komuniti dan sektor swasta berganding bahu untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan masing-masing. Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau PIBG SK Taman Megah, Kuala Lumpur sebagai contoh telah membina jaringan global di mana murid mengambil bahagian dalam program pertukaran budaya di luar negara. SJKC Union Pulau Pinang pula membuktikan kerjasama utuh antara alumni, pihak swasta dan sekolah dapat membantu menyediakan infrastruktur yang canggih dengan setiap bilik darjah dilengkapi Smart TV.  Ini adalah antara ribuan sekolah yang telah menyahut seruan Anjakan 9  PPPM ini.  Tahniah diucapkan kepada semua pihak; terutama Jurulatih Pelibatan Ibubapa dan Komuniti Kebangsaan (PIBK) yang ada bersama-sama kita pada hari ini, mahupun di luar sana. 


Para hadirin sekalian,
EKUITI DALAM PENDIDIKAN
  1. Kementerian sentiasa komited untuk merapatkan jurang antara Bandar dan luar bandar sebagaimana yang dijanjikan di dalam PPPM.  Menerusi Program Transformasi Daerah, kita berbangga dengan kejayaan kita mengurangkan sekolah-sekolah Band 6 dan 7 daripada 1.39% pada 2013 kepada 0.96% pada 2014; manakala sekolah-sekolah di dalam Band 1 dan 2 pula meningkat kepada 36.8% pada 2014 berbanding 31.0% pada 2013. Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha di bawah Program ini mendatangkan hasil, perubahan peranan Pejabat Pendidikan Daerah atau PPD selaku entiti yang paling hampir dengan sekolah kini lebih menjurus kepada bimbingan dan pementoran. PPD kini lebih bersedia kerana dipantau melaluidashboard dan dialog prestasi juga diadakan secara berkala.  Pada tahun lepas, dialog prestasi juga telah diadakan bersama-sama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) secara video conferencing.

  1. Ekuiti dalam pendidikan juga bermakna memastikan murid berkeperluan khusus, terutamanya masyarakatOrang Asli dan murid berkeperluan khas diberi peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti.  Bagi masyarakat Orang Asli, enrolmen murid meningkat kepada 41,207 pada 2014, berbanding 39,149 pada tahun sebelumnya.  Pelan Transformasi Orang Asli 2013-2017 telah dilaksanakan untuk memastikan transformasi secara menyeluruh melibatkan bukan sahaja murid tetapi infrastruktur dan pelibatan komuniti. Kementerian juga komited untuk meningkatkan peluang pendidikan bagi murid berkeperluan khas.  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif dilaksanakan untuk memberi peluang murid ini belajar dalam arus perdana.  Daripada 58,006 murid berkeperluan khas yang berdaftar, 10,700 murid terlibat dalam Program Pendidikan Inklusif. Jumlah sekolah yang menawarkan program ini juga telah meningkat kepada 2,798 berbanding 1,742 sekolah pada tahun sebelumnya.

Para hadirin yang dimuliakan,  
MEMUPUK PERPADUAN DALAM PENDIDIKAN
  1. Perpaduan merupakan salah satu Aspirasi Sistem yang memerlukan usaha bersepadu untuk dicapai.  Dalam hal ini, Kementerian telah meningkatkan usaha menerapkan perpaduan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dijalankan di 3,011 buah sekolah di seluruh negara.  Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan tarian pelbagai bangsa dan budaya, permainan tradisional, karnival bahasa dan sukan.  Di seluruh negara, sebanyak 20,916 pemimpin sekolah telah dilatih untuk melaksanakan konsep baharu RIMUP.  Kajian yang dijalankan pada tahun 2014 oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti menunjukkan 87.2% murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada bangsa lain di dalam kelas, ketika menjalankan aktiviti kokurikulum dan sukan.  Kita berharap dengan adanya usaha-usaha seperti ini, perpaduan antara kaum akan dapat dijalin dan diperkasakan. 

MEMPERTINGKAT KECEKAPAN PENYAMPAIAN PENDIDIKAN 
  1. Kementerian sentiasa berusaha untuk memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap Ringgit yang dibelanjakan.  Dari segi peruntukan,  pada 2014, Kementerian telah menyalurkan 23% daripada simpanan bajet bukan emolumen kepada aktiviti yang memberi impak secara langsung kepada keberhasilan murid, daripada sasaran 10% yang ditetapkan.  Dari segi sumber manusia, sebanyak 231 pegawai yang berpotensi telah diprofil, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan berkualiti pada semua peringkat.  Selaras dengan pembelajaran abad ke 21, Kementerian telah memastikan 8,884 sekolah di seluruh negara dilengkapi dengan 1BestariNet, manakala 6,623 sekolah dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi. Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan kualiti infrastruktur di sekolah, Kementerian telah menyiapkan 93.92% daripada projek baik pulih.  Namun begitu,  masih banyak lagi sekolah yang perlu ditingkatkan kualiti infrastruktur, khususnya di negeri Sabah dan Sarawak. 

Para hadirin sekalian,
PENUTUP
  1. Saya percaya sepanjang pelaksanaan inisiatif PPPM ini, banyak pengajaran dan pengalaman telah diperoleh dan dipelajari oleh Kementerian untuk meningkatkan lagi usaha. Melangkah ke akhir Gelombang 1 tidak bermakna kita boleh memperlahankan rentak kerja.  Malahan kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan memberi komitmen padu bagi memastikan peningkatan pencapaian secara berterusan setiap inisiatif transformasi yang telah dirancang.
  1. Selepas dua tahun, kita kini sudah dapat melihat perubahan yang berlaku di dalam bilik darjah.  Bukan sahaja susun atur di dalam kelas sudah berubah, tetapi juga selaras dengan pendidikan abad ke-21, peranan guru kini lebih kepada menjadi fasilitator untuk membantu murid mendapatkan maklumat yang tepat dan betul yang begitu mudah didapati di hujung jari.  Aktiviti di dalam kelas juga kini semakin hidup dengan pembentangan dan perkongsian murid, malah murid kini boleh membuat penilaian rakan sebaya dan saling membantu dalam proses pembelajaran.  Sedikit sebanyak kejayaan yang dicapai telahpun saya bentangkan petang ini, dan butiran lengkap pencapaian  berserta langkah-langkah seterusnya bolehlah diteliti oleh para hadirin di dalam laporan yang akan dilancarkan sebentar lagi.
  1. Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik iaitu guru, pemimpin sekolah, serta pegawai Kementerian, dan ibu bapa di seluruh negara atas sumbangan gigih dan dedikasi dalam menjayakan transformasi pendidikan negara. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan warga ke empat-empat sekolah  yang turut berkongsi tempat pada hari yang bersejarah ini.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, sukacita saya lancarkan Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Sektor Pelajaran bagi 2014.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum wbt.

0 komen ::

Catat Ulasan