Tarikh : 31 Januari 2013 (Khamis)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat MRSM Mersing
Al-Hamdulillah, satu perbincangan tiga penjuru antara Yayasan Pelajaran MARA, MRSM Mersing dan PPD Mersing telah diadakan seperti ketetapan di atas.. Perbincangan tersebut berjalan dengan lancar dan berkesan bagi membuat penyelarasan pelaksanaan Program Kelas Bimbingan YPM-MRSM dengan tema "Everyone Can Go For Tuition" .
Sesi perbincangan tersebut dihadiri oleh En.Mohd. Azhar bin Othman, Eksekutif Seksyen Dana Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Yayasan Pelajaran MARA, dua orang Pegawai YPM, pihak MRSM Mersing dan PPD Mersing yang diwakili oleh Ust. Wan Nadzri bin Wan A.Rahman dan En. Mat Yasin bin Daud.
Kelas Bimbingan berkongsepkan kuliah dan mentor-mentee akan dilaksanakan pada tahun ini dengan mensasarkan 100 orang calon-calon SPM tahun 2013 (Bumiputera) - Miskin, Luar Bandar, Pencapaian Sederhana dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang berkaitan. Kelas tersebut akan menfokuskan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah SPM 2013.
Pelaksanaanya akan dibuat secara bersiri sebanyak 12 kali Sabtu, tidak termasuk 2 kali sesi motivasi dan peperiksaan percubaan. Insya Allah program tersebut akan bermula pada bulan Mac nanti. Dan pihak sekolah yang terlibat akan dimaklumkan secara rasmi nanti oleh pegawai kami.
Objektif :
- Memberi akses pendidikan kelas tambahan kepada pelajar miskin sekolah harian luar bandar sekitar MRSM.
- Peserta dapat menimba ilmu daripada Guru Pakar/Cemerlang MRSM.
- Perkongsian tips dan teknik belajar melalui konsep mentor-mentee (pelajar MRSM dan peserta kelas bimbingan)
- Meningkatkan kecemerlangan akademik dalam subjek-subjek yang ditawarkan.
- Mengekalkan momentum kecemerlangan.
- Menerbitkan rasa keyakinan, mengenal potensi diri serta memancarkan motivasi kepada peserta seterusnya mendetikkan transformasi dalam diri peserta untuk mengejar kejayaan dan impian.
Kriteria Pelajar :
- Calon-calon SPM 2013.
- Pelajar yang belum menerima apa-apa bentuk bantuan kelas bimbingan atau tuisyen dari mana-mana pihak.
- Latarbelakang pelajar adalah daripada keluarga yang miskin dan tidak berkemampuan.
- Pelajar-pelajar yang berprestasi sederhana dan HALUS dalam matapelajaran-matapelajaran berkenaan.
Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak YPM dan MRSM kerana sudi menaja dan memberi sumbangan dalam menjayakan program tersebut. #