* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

الإنسان يحاسب على الأفعال والله يحاسب على النيات

MEMPERKASAKAN KEPIMPINAN

MEMBINA KOMITMEN, MENCIPTA KEBERSAMAAN

TINDAKAN SE ALIM KATA

MENGUPAYAKAN ORGANISASI,
MEMINIMUMKAN KUASA DOMINASI

MENCIPTA SEJARAH, MEMAHAT TAMADUN

MEMINTAS ARUS MENCIPTA SEJARAH

ASPIRE TO INSPIRE BEFORE YOU EXPIRE

Man punishes the action , but Allah the intention

Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan tindakan kita. Sokongan dan kerjasama anda adalah satu penghormatan kepada usaha merealisasikan hasrat slogan MERSING HEBAT berteraskan kepada amalan HIKMAH, EFEKTIF, BADAR, AMANAH dan TAWAKKAL.

اللهم اجعلنا من المستمعين القول فيتبعون أحسنه

Idea dan cadangan tuan amat dialu-alukan.

SEBARANG KESULITAN DAN KELEMAHAN AMAT DIKESALI.

Sila salurkan cadangan, komen dan aduan tuan/puan ke alamat email berikut : akademikmg@gmail.com.
...................................................................................................

Pendidikan Holistik Johor - Mengoptimumkan Potensi, Memaksimumkan Keberhasilan

Ahad, 31 Disember 2017

PERUTUSAN AWAL TAHUN PERSEKOLAHAN SESI 2018 - PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR

Reaksi :  
Bismillahirrahmanir rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Negara ku Malaysia dan Salam Muafakat Johor.

Tuan-tuan, puan-puan dan warga pendidik negeri Johor dikasihi sekalian.

Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama melabuhkan tirai untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab pada tahun 2018 ini. Atas kesempatan itu, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua warga pendidikan negeri Johor sekalian. Semoga tahun ini kita dapat menyumbangkan keringat dan usaha untuk melonjakkan kecemerlangan dengan sekolah berkualiti dan kemenjadian murid kita ke tahap yang terbaik.

Bermula 2016, kini masuk tahun ke 3 saya memimpin Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Sepanjang menerajui JPN Johor ini, banyak perkara telah saya pelajari tentang pengurusan modal insan yang perlu dilakukan dengan teliti dan pelibatan dengan pemimpin pendidikan perlu dibuat secara diplomatik. Berkat doa dan sokongan semua pihak, saya akan terus menerajui perubahan bersama-sama warga pendidikan demi memartabatkan sistem pendidikan negara amnya dan hala tuju pendidikan negeri Johor khasnya. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada warga pendidik negeri Johor yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan sepanjang tahun 2017.

Tahun 2018 merupakan tahun ketiga dalam Gelombang 2 pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013—2025. Sasaran Gelombang ini adalah memacu peningkatan dan penambahbaikan dalam memacu sistem. Sebagai warga pendidikan yang berpandangan futuristik, kita harus sedar bahawa terdapat agenda yang lebih besar untuk menyediakan modal insan Johor bersifat holistik yang boleh mendepani cabaran masa hadapan. Wacana Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik yang bersifat holistik dan inklusif yang digagaskan untuk memeta hala tuju negara bagi tempoh tiga dekad akan datang. Sebenarnya kita warga pendidikan tidak perlu risau untuk merealisasi hasrat kerajaan ini kerana kita telahpun menyediakan asas yang kukuh dalam diri generasi akan datang melalui Enam Aspirasi Murid yang diterapkan melalui PPPM. Kita juga bersedia untuk memenuhi aspirasi global kerana pendidikan yang diamalkan di negara ini adalah amat selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) ke Empat mengenai pendidikan yang menetapkan sasaran enrolmen universal pada tahun 2030. Anjakan paradigma ini lebih menjurus kepada transformasi minda yang membolehkan mereka berdaya saing dan mampu berdikari untuk membangunkan negara menjelang tahun 2050.

Visi, Misi, Slogan, Motto dan segala perancangan telah disusun di sektor di JPN, unit di PPD dan sekolah bagi pelan tindakan tahun 2018 ini. Justeru, dengan prinsip kerja dan iltizam kita, marilah kita bergerak sederap berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan cita-cita, sasaran dan aspirasi murid yang kita dambakan menjadi realiti. Dengan tagline “Kerja Berkualiti, Ibadah Dihayati” dapat meneruskan usaha dalam kecekapan dan kecemerlangan kerja buat kita. Kerja berkualiti boleh dicapai dengan mengambil tindakan yang cepat, tepat, integriti (CTI) dalam melaksanakan amanah sebagai warga pendidik dan disokong pula dengan produktiviti, kreativiti dan inovasi (PCI) dalam mencapai keberhasilan kerja. Konsep ibadah dihayati perlu diperkukuhkan dengan pemahaman yang jelas. Kita menjalankan tugas dengan niat yang betul, dilaksanakan mengikut tatacara dan prosedur yang telah diberi garis panduannya, tugas yang dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh serta mempunyai matlamat untuk mencapai keberhasilan yang berimpak tinggi dan boleh dimanfaatkan oleh semua.

Amanat saya pada tahun ini bertemakan SEKOLAH UNGGUL, JAUHAR ULUNG. Dalam konteks lanskap pendidikan negeri Johor kita menyahut Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPPM, Datuk Dr. Amin bin Senin yang menjadikan dua perspektif dalam sasaran mikro iaitu kualiti sekolah dan kualiti kemenjadian murid sebagai keberhasilan utama Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam konteks pendidikan negeri Johor, kualiti sekolah diukur dengan menggunakan satu standard dan instrumean yang diguna pakai oleh semua sekolah iaitu Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang dibangunkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) dengan pencapaian 90% dan ke atas. Sekolah yang dapat mencapai tahap ini setelah diaudit akan dijulang sebagai SEKOLAH UNGGUL. Sekolah unggul ini diverifikasikan mengikut kelompoknya. Manakala kualiti kemenjadian murid memfokuskan kemenjadian dan keberhasilan murid melalui keberkesanan pelaksanaan dan pelaporan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang meliputi Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), PAJSK (SEGAK dan Kokurikulum) dan Psikometrik. Pendekatan holistik yang bersepadu meliputi semua aspek dalam membangunkan potensi individu iaitu jasmani, rohani, emosi dan intelektual murid. Selain itu, murid juga diiktiraf melalui pelibatan dalam kokurikulum seperti JSLC, aktiviti-pembentukan karakter murid Johor dan sebagainya. Sekiranya murid dapat memenuhi kriteria pengukuran ini, murid diiktiraf sebagai JAUHAR ULUNG.

Harapan saya agar usaha murni yang dilakukan oleh warga pendidik negeri Johor akan meningkatkan lagi motivasi dan komitmen dalam melaksanakan segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Saya mendoakan semoga tuan-tuan dan puan-puan sekalian terus beristiqamah, beriltizam, menjiwai semangat, roh dan etika keguruan dalam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa. Akhir kata, saya berharap kita semua dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap dan kukuh demi menjayakan SEKOLAH UNGGUL JAUHAR ULUNG. Mudah-mudahan segala usaha dan keringat yang dicurahkan umpama mutiara yang berharga akan tetap dipandang mulia walau banyak dugaan melanda.

Wabillahitaufik Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
HAJI SHAHARUDIN BIN SHARIFF
Pengarah Pendidikan Negeri Johor 


27 Disember 2017

0 komen ::

Catat Ulasan